July 23, 2012

Berkongsi kan lebih nikmat :)


Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, selesai sudah hari ketiga berpuasa di bulan mulia ini. Lebih nikmat lagi dapat berbuka bersama-sama rakan sekelas usai penat bekerja. Hari ini, kami ditugaskan untuk menyediakan juadah berbuka untuk Balai Islam al-Muttaqin IPG KDRI. Menu yang menjadi pilihan kami untuk disajikan ialah Ayam Goreng Halia dan Tomyam Ayam. Sedap. Terima kasih buat semua atas kerja sama yang diberikan.  Alhamdulillah, lauk-pauk semua cukup untuk semua yang berbuka di balai.

Sudah menjadi adat di IPG kami membahagi-bahagikan tugas di bulan Ramadhan ni. Ada yang membeli bahan, ada yang memasak bubur lambuk, sediakan air, sediakan juadah berbuka, sediakan moreh lepas terawih dan tidak ketinggalan juga yang mengemas segala peralatan yang telah digunakan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. :)

Paling menarik sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke sini dulu ialah makanan ataupun juadah berbuka dan juga moreh akan dihidangkan di atas dulang. Nasi berserta lauk akan diletakkan bersama. Jadi, kami akan duduk mengelilingi dulang tersebut untuk makan. Setiap dulang akan dikongsikan bersama 4 hingga 7 orang. Kata orang, “Makanan tu, kalau berkongsi, akan lebih mengenyangkan.” Ternyata memang sangat mengenyangkan.

Lagi satu, di sini, kami akan menyediakan bubur lambuk secara gotong-royong pada setiap hari. Kelas yang bertugas akan bertanggungjawab menyediakan bubur lambuk untuk hari tersebut. Lebih kurang jam 6.30 petang, semua pelajar dijemput ke balai Islam untuk mengambil bubur lambuk yang disediakan. Biasanya disediakan dalam 1 kawah besar. Cukup untuk sama-sama nikmati sebagai juadah sampingan.

Sampai di sini sahaja untuk malam ni. Mahu sambung kerja. :)
Tak sabar untuk menjamah bubur lambuk pada esok hari. Asyik terlambat je tiap-tiap hari. Al-maklumlah, sedap sangat bubur tu sampai tak boleh nak senduk lagi dah.

Selamat bersahur dan berpuasa. :)



2 comments: