July 23, 2012

Berkongsi kan lebih nikmat :)


Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, selesai sudah hari ketiga berpuasa di bulan mulia ini. Lebih nikmat lagi dapat berbuka bersama-sama rakan sekelas usai penat bekerja. Hari ini, kami ditugaskan untuk menyediakan juadah berbuka untuk Balai Islam al-Muttaqin IPG KDRI. Menu yang menjadi pilihan kami untuk disajikan ialah Ayam Goreng Halia dan Tomyam Ayam. Sedap. Terima kasih buat semua atas kerja sama yang diberikan.  Alhamdulillah, lauk-pauk semua cukup untuk semua yang berbuka di balai.

Sudah menjadi adat di IPG kami membahagi-bahagikan tugas di bulan Ramadhan ni. Ada yang membeli bahan, ada yang memasak bubur lambuk, sediakan air, sediakan juadah berbuka, sediakan moreh lepas terawih dan tidak ketinggalan juga yang mengemas segala peralatan yang telah digunakan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. :)

Paling menarik sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke sini dulu ialah makanan ataupun juadah berbuka dan juga moreh akan dihidangkan di atas dulang. Nasi berserta lauk akan diletakkan bersama. Jadi, kami akan duduk mengelilingi dulang tersebut untuk makan. Setiap dulang akan dikongsikan bersama 4 hingga 7 orang. Kata orang, “Makanan tu, kalau berkongsi, akan lebih mengenyangkan.” Ternyata memang sangat mengenyangkan.

Lagi satu, di sini, kami akan menyediakan bubur lambuk secara gotong-royong pada setiap hari. Kelas yang bertugas akan bertanggungjawab menyediakan bubur lambuk untuk hari tersebut. Lebih kurang jam 6.30 petang, semua pelajar dijemput ke balai Islam untuk mengambil bubur lambuk yang disediakan. Biasanya disediakan dalam 1 kawah besar. Cukup untuk sama-sama nikmati sebagai juadah sampingan.

Sampai di sini sahaja untuk malam ni. Mahu sambung kerja. :)
Tak sabar untuk menjamah bubur lambuk pada esok hari. Asyik terlambat je tiap-tiap hari. Al-maklumlah, sedap sangat bubur tu sampai tak boleh nak senduk lagi dah.

Selamat bersahur dan berpuasa. :)



July 21, 2012

~ 1 Ramadhan tanpa dia ~

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah masih berkesempatan bertemu dengan awal Ramadhan. Syukur juga kerana berkesempatan berterawih bersama bonda tersayang di surau berdekatan. Setelah lebih sebulan tidak melihat wajahnya, kini alhamdulillah, terasa tenang hati dan jiwa dapat melihat, cium dan peluk tubuhnya seerat mungkin.

Namun begitu, Ramadhan kali ini tetap sangat berbeza. Berbeza dengan ketiadaan ayahanda tercinta. T_T Semoga roh arwah abah tenang di sana. InsyaAllah, mudah-mudahan. Jika hendak dikenang, sememangnya air mata ini tidak akan berhenti mengalir. Lebih baik merelakannya pergi dari melihatkan beliau terlantar sakit. Saya sangat rindukan abah. :(

Walau apapun, saya tetap bersyukur kerana masih memilik seorang ibu yang sangat tabah. InsyaAllah, teringin sekali menjadi setabah beliau. Semoga mak dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa dilindungi oleh-Nya. Amin.

Salam Ramadhan dan selamat berpuasa buat semua.
Sama-samalah pertingkatkan iman kita.
Let's recharge our iman. :)


Ramadhan Daily Checklist :D



July 15, 2012

Bertunang tanpa sengaja?

Assalamualaikum w.b.t.

Berbalik pada tajuk, bertunang tanpa sengaja? Ada ke macam tu? Ok, meh saya ceritakan sedikit walaupun tak berapa tahu sangat. Hanya berdasarkan pembacaan. Jika sebelum ni kurang ilmu, alhamdulillah,  kini bertambah sedikit.



Tapi sebelum tu, jom kita tengok dengan lebih dalam maksud 
dan hukum bertunang itu sendiri.

"Khitbah" (Bahasa Arab) atau dalam Bahasa Melayu kita panggil bertunang. Selain itu, bertunang juga ditafsirkan sebagai menzahir atau mengiklankan kehendak dengan seorang wanita (Fatawa Muasoroh oleh Dr. Yusof Al Qardawi). Beliau juga mengatakan bertunang itu tidak meletakkan hak kepada tunang lelaki selain hanya untuk melamar (reserve or booking) sebelum pihak lelaki selain darinya tidak datang meminang wanita tersebut. sebenarnya muqaddimah atau permulaan kepada nikah atau berkahwin. Pelbagai terjemahan berkaitan bertunang. Bertunang diterjemahkan sebagai melamar atau meminta persetujuan pihak wanita untuk dijadikan isteri atau kemahuan seseorang untuk berkahwin.

Bagi hukum pula :

Kebanyakannya mengatakan harus
Tetapi mengikut Imam As-Shafie, hukumnya adalah sunat 
(sila rujuk buku Mughni Almuhtaj). 
Dan mengikut Dr. Abd. Karim Zaidan pula, hukum sunat lebih aula (utama) 
daripada harus (sila rujuk buku Almufassal fi Ahkam Al Mara'ah).


[Majalah Al-Ustaz : volume 1]

Bagaimanakah yang dikatakan bertunang?

Apabila seorang lelaki menyatakan hasratnya untuk meminang dan perempuan itu bersetuju maka dikira sebagai tunang dari sudut Islam meskipun tanpa pengetahuan ibu bapa. Dengan syarat perempuan tersebut hendaklah sudah baligh, cerdik dan pandai bawa diri. Tetapi sekiranya perempuan tersebut belum baligh atau gila, maka persetujuannya tidak sah dan perlu kepada persetujuan ibu bapa. Adapun kebiasaan masyarakat datang dengan rombongan itu hanyalah adat.

Hasrat mendirikan rumah tangga bukan perkara main-main. Apabila sudah bersetuju, maka dikira bertunang. Betulkah? Ini hal serius. Adakah antara kamu yang dah bertunang tanpa sedar? Berdebar jugak ni. Tiba-tiba dah jadi tunangan orang tanpa sedar kan. Sebab tu orang cakap hal nikah kahwin bukan sesuatu yang boleh dibuat main.

Ok2, mood serius. Bersediakah saya untuk melalui fasa permulaan ini? Kencang jugak degupan jantung ni. Kena tidur dulu. Tak dapat nak fikir lagi. Tiba-tiba diselubungi suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Tidak bersedia? Takut? Bimbang tersilap buat pilihan? Semua ada. Pintaku, andai dia jodohku, kumohon Engkau permudahkanlah segala-galanya. Amin.